Saturday, 4 January 2014

Soal dan Bicara Hati

Beratnya rasa hati nak melangkah pergi
Tetapi apakan daya aku terpaksa
Buat kali terakhir inginku mengucapkan
Semoga dirimu berbahagia selalu
Tentang diriku ini
Terserah padaMu Tuhan menentukan…
Tak perlu kau bertanya ke mana ku pergi
Pandailah aku menjaga diriku ini
Sekali kumelangkah oh biarlah ku teruskan
Perjalanan ini walaupun sendirian
Hanya Tuhan yang tahu dukalara hidupku ini
Tak terkata, aduhai sayang…
Ku masih lagi teringat
Bicaramu yang terakhir
Pedihnya hingga menikam kalbu
Bisanya…
Selamat tinggal sayangku
Selamat tinggal kasihku
Aku terpaksa pergi dahulu
Kerana terluka hati ini
Kiranya tempias membasahi jendelamu
Itulah airmata yang jatuh di pipiku
Kiranya sang bayu menyentuhi paras wajahmu
Oh itulah rinduku yang menyebut namamu
Setelah sekian lama tak jumpa

Ini adalah sebuah lirik lagu KERANA TERLUKA nyanyian NURUL. Saya mengambil lirik lagu ini untuk diulas dan ingin membawa kepada perbincangan soal dan bicara Hati.
Mengenai hati, sudah pelbagai definisi dan istilah kita ketahui dan dengar. Hati, istilah dan kata mudah adalah organ, namun Hati mempunyai daya fungsi yang amat halus, sehingga kita tidak tahu sejauh manakah kita mengerti mengenai hati. Kebiasaannya, hati dapat kita kaitkan dengan perasaan. Andai hati terluka, gembira, sedih semua itu adalah perasaan yang kita rasa sebagai makhluk ciptaan dari Allah SWT., Yang Maha Esa.

Hati juga mempunyai daya untuk saling berkasih sayang. Oh, bahagianya kan :) namun, sejauh mana kebahagiaan dan kegembiraan itu dapat diraih? Baiklah, mari kita buat eksperimen dan kajian tentang persoalan hati dan sejauhmana hati terluka
Kajian 1 :
Kita lihat pada pasangan kita, sejauh manakah kekuatan hatinya pada kita? adakah hanya kita sahaja yang seorang macam syok sendiri. Kemudian, apabila terluka? Jadilah luka hati itu. Benarkan?
Kajian 2 :
Kita lihat pada pasangan kita, sejauh manakah dia menerima kita seadanya, sama ada baik atau buruk. Pada tahap ini, hati masih belum terluka jika kita masih lagi menerima teguran dan anggap itu semua untuk memperbaiki diri kita.
Kajian 3 :
Kita lihat pada pasangan kita, di manakah tahap keegoaannya pada diri kita. KIta seorang sahajalah yang cuba mengerti dan menjadikan diri kita positif semata-mata ingin menjaga hatinya. Oh! ini sudah tahap kritikal, hati akan bertambah luka, jika kita pendam. Di manakah toleransi pasangan anda.

Kesimpulannya, mengapa biarkan hati anda terluka. Semua orang akan merasai saat ini. Tetapi percayalah bahawa, kesedihan tidak datang berterusan. Kuatkan semangat. Dan berikan hati anda pada Allah SWT., sesungguhnya, tiada yang tersembunyi dari pengetahuan Allah SWT., 
Salam sayang. Hargailah hati kita dan hati kita semua.
Sahlizaumairahrayyana



Friday, 3 January 2014

NOVEL : DESTINASI KASIH KITA

* PERHATIAN, KARYA NOVEL INI ADALAH PENULISAN ASLI. TIDAK DIBENARKAN UNTUK SEBARANG AKTIVITI PLAGIAT. 


NOVEL : DESTINASI KASIH KITA 
Karya : Siti Norsahliza Wagiah





Petang ini rakan-rakan menyambut hari ulang tahun Aida. Sudah pasti aku ingin memakai baju yang sama dengan Jamil. Yelah kami kan pasangan bercinta, walaupun Jamil tidak begitu serius dengan aku. Herm…nak pakai baju warna apa ya? Bisik hatiku sambil tersenyum. Aku segera mendapatkan telefon bimbit untuk menghantar pesanan ringkas kepada Jamil. ‘’Salam, Jamil petang nanti nak pergi sambut hari ulang tahun Aida kan, kita pakai baju sama nak tak?’’ cadanganku kepada Jamil sambil hati berbunga-bunga dengan penuh harapan agar dia bersetuju..wah romantiknya.. warna biru pun cantik juga sebab Jamil pun turut ada baju T-shirt berwarna biru. “Waalaikumusalam Safiya, saya memang ada baju biru, tapi tengoklah nanti saya pakai atau tidak’’ jawapan Jamil kepada aku untuk membalas cadangan aku sebentar tadi. Herm balas pun lambat mengomel hati aku terhadap sikap Jamil yang sekarang seolah-olah ingin menjauh diri daripada aku. Tapi mengapa? Aku membalas pesanannya ‘’baiklah Jamil nanti kita pakai baju biru ya, kita jumpa di majlis Aida nanti ok?’’. Aku segera mendapatkan baju warna biru dan aku berharap agar Jamil turut memakai baju biru. Sukanya hati aku sebab aku tidak pernah dilamun cinta! Aduhai begini rasanya. Sedar tidak sedar sudah hampir masa utnuk majlis hari ulang tahun Aida. ‘’Alamak jam sudah menunjukkan jam 4.30 petang, baik aku bersiap untuk solat Asar kemudian baru pergi ke majlis ulang tahun Aida. Beruntung Aida, majlis hari ulang tahunnya disambut apabila dalam perancangan buah hatinya. Wah, nanti apabila hari ulang tahun aku pula, semoga Jamil dapat  merancang majlis hari ulang tahun aku dengan member makna dengan menghargai aku. Tapi, aku tidak pastilah sebab Jamil itu seperti tidak ikhlas terhadap aku. Tidak mengapalah duhai hati pasti ada hikmahnya dan aku perlu bersabar dengan sikap Jamil terhadap aku. Sampai juga aku di majlis hari ulang tahun Aida. Di mana Jamil ini? Bisik hatiku sambil mencari-cari Jamil. Salah seorang rakan ku seolah-olah faham bahawa aku sedang mencari-cari Jamil yang tidak muncul-muncul. ‘’Safiya, awak mencari Jamil ke?’’ terkejut aku setelah ditegur oleh seseorang. ‘’ya, mana Jamil ya’’ pertanyaanku dan tidak sabar menunggu jawapan. ‘’itu Jamil, dia sedang makan’’. Terkejut aku melihat lelaki yang memaki baju hitam itu. ‘’arggghhh geramnya, kenapa dia memakai baju berwarna hitam?’’ keluhku seorang diri lalu meninggalkan rakan itu tadi. Aku cuba mendekati Jamil dan ingin bertanya kenapa dia tidak memakai baju warna biru? Dan kenapa dia menipu aku? Tapi aku rasa keadaan yang baik ini di majlis Aida, aku tidak patut menunjukkan riak muka yang geram ini. Aku terus bersabar dan terpaksa memberi senyuman kepada tetamu yang hadir kerana tetamu yang hadir juga rakan-rakan aku yang aku kenali. Aku melihat sahaja Jamil dari jauh dengan pandangan merajuk. Jamil buat-buat tidak perasan sahaja dengan tindakan aku terhadap dia. Geramnya aku tengok Jamil itu dengan selamba sahaja seolah-olah dia tidak bersalah sahaja kepada aku. Hilang terus emosi aku daripada gembira bertukar kepada sedih, sakit hati dan geram. Aku terus mendapatkan Aida sejurus meninggalkan tempat yang aku dapat melihat Jamil yang membuat endah tidak endah sahaja terhadap aku. ‘’Aida, meriah juga majlis hari ulang tahun kamu..beruntungnya kamu’’ aku menuujukkan riak muka yang gembira walaupun dalam hati ini rasa pilu dan geram sangat apabila teringat akan Jamil. ‘’Eh, Safiya cantik kamu hari ini, mana Jamil? Kamu seorang sahaja ke?’’ kata Aida sambil tersenyum dan menunjukkan dia berasa gembira kerana dia seolah-olah dihargai. ‘’Aku seorang sahaja, Jamil entahlah, malas aku nak fikir dia’’ jawab aku dengan berasa hampa dan hendak sahaja aku luahkan pada Aida, tetapi aku tidak mahu dia pun turut berasa sedih dengan keadaan aku sekarang ini. ‘’Sabarlah Safiya, mungkin dah memang sikap Jamil itu yang tidak romantic, aku faham’’ aku terkejut seolah-olah Aida faham keadaan sedih aku. ‘’Aida, aku nak makan lagi boleh tak?’’ Tanya aku sambil ketawa dan tersenyum-senyum. ‘’eh, bolehlah kan banyak lagi makanan terhidang tu, memang untuk tetamu yang datang pun, kau pun tetamu aku kan, pedulikan sahaja Jamil itu, lagipun cantik kau hari ini mesti ada yang nak berkenalan dengan kau nanti.’’ Aida memuji aku kerana aku tampak menarik perhatian orang dengan memakai baju berwarna biru ini walaupun aku hanya mengenakan baju biasa sahaja. ‘’terima kasih Aida, kau pun cantik juga, inikan majlis ulang tahun kau, baiklah aku nak pergi ke sana, makan di sana aku belum lagi merasanya’’ aku terus menukar cerita memandangkan aku ini seorang yang kuat makan juga. Apabila aku di meja makanan yang ingin aku mahu merasa makanan yang aku inginkan, aku mendapati aku sedang diperhatikan oleh seseorang. Tetapi aku seolah-olah tidak perasan dan aku buat tidak tahu dan bersahaja. Semakin lama, aku berasa aku sedang diperhatikan, segala tingkah laku aku serba tidak kena kenapa dengan aku ini? Keluh aku pada diri sendiri. Ah, biarkan sahajalah siapa pun nak pandang aku mungkin aku rasa seperti bersalah kerana mengambil makanan terlalu banyak tanpa memikirkan orang lain yang ada memerhatikan aku. Tetapi, tidak mungkin jamil sedang memerhatikan aku sedangkan dia sedang bergembira dengan rakan-rakannya sendiri tanpa mempedulikan aku. Setelah selesai menjamu selera aku memberitahu kepada Aida kerana aku ingin pulang ke rumah. Sejurus sampai di luar rumah Aida aku terpana pada sepasang mata yang tajam merenung aku. Aku juga terkejut dengan pandangan mata itu. Tetapi aku segera meninggalkan renungan mata itu dan berlalu pergi. Semasa perjalanan pulang ke rumah aku, masih teringat wajah yang memandang serentak dengan mata aku, kenapa dia merenung mata aku dengan seribu pertanyaan? Siapa lelaki itu? Kenapa aku teringat wajahnya? Ah! Biarkan sahajalah bukan aku kenal pun lelaki itu.








BAB 2

            Kelas pada hari ini seperti biasa memang rutin harian sebagai pelajar university jadual sering berulang-ulang Cuma berlaku perbezaan apabila kelas batal, memang ramai pelajar suka. Aku melihat sejenak jadual kelas aku pada hari ini ada kelas petang hari ini, Ah! Malasnya nak pergi kelas petang ini, dua jam pula tu..aduhai sabarlah hati.

...BERSAMBUNG,.....,..

NOVEL REMAJA : MAISARAH

* PERHATIAN, KARYA NOVEL INI ADALAH PENULISAN ASLI. TIDAK DIBENARKAN UNTUK SEBARANG AKTIVITI PLAGIAT. 


NOVEL REMAJA : MAISARAH 
Karya : Siti Norsahliza Wagiah

BAB 1 : Rumah Maisarah
Maisarah, nama yang sudah memang dikenali dengan sikap kenakalannya di sekolah mahupun di rumah. Rakan-rakannya, tidak begitu ikhlas untuk berkawan dengannya, kerana kadang-kala Maisarah boleh menjadi rakan bersama, tetapi kadang-kala pula Maisarah bersikap nakal terhadap rakan-rakan di sekolah.
‘’Assalamualaikum.. mak cik, maisarah ada di rumah?’’
‘’Wa’alaikumusalam, ooo Suhaila, mahu jumpa Maisarah ke? Dia tidak ada di rumah, mungkin dia bermain bersama rakan-rakan yang lain’’
‘’oh begitu ke makcik, em tidak mengapa kalau begitu saya akan mencari Maisarah, terima kasih makcik’’
‘’sama-sama Suhaila, nanti jika jumpa Maisarah, pesan pada dia pulang ke rumah jangan balik lewat sangat ya’’ mengomel Mak Nab terhadap sikap anak tunggalnya yang tidak mahu duduk di rumah, asyik berjalan sahaja.
‘’ke mana sahaja si Maisarah ini, bukan mahu duduk di rumah belajar ke, tolong emaknya di dapur, ini tidak berjalan sahaja tidak ingat mahu balik rumah, esok pergi sekolah baru nak sibuk-sibuk dengan persiapan persekolahannya’’ sugul Mak Nab tanpa sedar Pak Jalal yang sudah pulang dari bekerja.
‘’Apa yang awak bebelkan tu, Maisarah memang begitu ikut perangai awak masa kecil-kecil dulu’’ sengaja Pak Jalal ingin mengusik Mak Nab yang sedang terkenang akan sikap anaknya yang nakal itu.


BAB 2 : Parit Kecil
‘’Maisarah! Oh Maisarah! Di sini awak rupanya ya? Penat saya cari awak’’. Dengan tercungap-cungap Suhaila pergi menuju ke arah Maisarah yang sedang asyik mencari udang di parit dengan menggunakan tudung saji.
Maisarah yang sedang asyik mencedok udang di parit terkejut dengan kehadiran Suhaila. Maisarah berehat seketika dan duduk di titi kecil untuk menandakan dia sudah letih mencari udang dan menunjukkan bekas yang berisi dengan anak-anak udang yang sudah dia dapat.
‘’Awak ini Suhaila, bukan tidak tahu tempat saya jika petang-petang begini, mestilah mencedok udang di sini’’ sambil tersenyum-senyum kerana dia memang gemar dan suka akan tempatnya bermain di parit.
‘’Banyaknya udang yang awak dapat Maisarah, hermm awak sudah menyiapkan tugasan sekolah? Saya datang ke rumah awak tadi sebab hendak belajar sama-sama dan menyiapkan tugasan sekolah matematik itu’’ dengan semangat Suhaila menyatakan hasratnya untuk menyiapkan tugasan sekolah matematik tetapi berasa hampa kerana Maisarah begitu tidak berminat terhadap permintaannya untuk menyiapkan tugasan sekolah yang di berikan oleh cikgu Karim.
‘’Suhaila, kalau awak nak buat tugasan sekolah, tidak perlu tunggu saya, sebab saya akan menyiapkan tugasan sekolah itu pada waktu malam, saya malas nak buat awal-awal’’. Jawab Maisarah dengan selamba dan menyambung untuk mencari udang lagi dengan cara mencedok-cedok di bawah rumput-rumput yang berada di bahagian tepi parit itu.
Suhaila yang kecewa dengan sikap Maisarah itu lalu ingin meninggalkan Maisarah yang tidak mementingkan tugasan sekolah dan asyik berperangai seperti budak-budak lelaki sahaja.
Maisarah memandang Suhaila yang ingin berlalu pergi.
‘’Suhaila, awak mahu ke mana? Mahu balik ke?’’
‘’Iya lah, awak asyik dengan mencedok udang sahaja, bukan mahu duduk di rumah, belajar ke, ini tidak perangai macam budak-budak lelaki sahaja. Awak tidak takutkah seorang-seorang bermain di parit? Ada ular baru tahu.’’ Sengaja Suhaila menakut-nakutkan Maisarah. Suhaila teringat akan pesan mak Nab lalu dia memberitahu kepada Maisarah ‘’ Ha, Maisarah, emak awak suruh pulang ke rumah awal jangan sampai lewat, baiklah saya balik dahulu, malas nak tunggu awak di parit ini, baik saya menyiapkan tugasan sekolah di rumah saya’’.
Maisarah terpaku apabila mendengar kata-kata daripada Suhaila sambil memerhatikan sekeliling parit itu ada ular atau tidak, dengan perasaan takut, Maisarah segera naik ke atas tanah.
‘’Huh, Suhaila memang dengki betul lah, aku memang takut ular, ishh mak aku suruh balik lah pula, baru pukul berapa, malas nak balik awal bukan boleh buat apa pun,’’
Melihat akan Suhaila yang ingin mendapatkan basikal lalu Maisarah turut mendapatkan bekas yang berisi udang hasil tangkapannya dan segera mengejar Suhaila kerana ingin pulang bersama-sama dengan menaiki basikalnya.


BAB 3 : Jalan Kampung
Semasa perjalanan pulang ke rumah, Suhaila dan Maisarah bersama-sama menaiki basikal. Suhaila menaiki basikal yang sememangnya milik Suhaila yang sesuai dengan anak gadis perempuan. Tetapi berbeza dengan Maisarah yang memiliki basikal seperti lelaki iaitu basikal GT yang mempunyai tempat duduk yang rendah dan mempunyai palang di bahagian basikalnya. Semasa perjalanan pulang ke rumah terdapat sekumpulan budak-budak lelaki yang sedang bermain-main basikal di jalan itu.
‘’Eh, itu Maisarah, eeee Maisarah tomboy, tomboy, tomboy!’’ ejekan daripada budak-budak lelaki di situ dengan gelak-gelak kepada Maisarah.

Maisarah berasa marah dan geram terhadap ejekan budak-budak lelaki itu, bukan dia tidak kenal mereka itu adalah rakan-rakan yang sama-sama bersekolah dengannya. Maisarah mengambil keputusan untuk memberhantikan kayuhannya. Lalu mencari-cari batu di tepi jalan. Setelah mendapatkan batu-batu kecil lalu membaling batu-batu itu ke arah budak-budak lelaki yang mengejeknya. Lari lintang-pukang budak-budak lelaki itu kerana takut akan terkena batu-batu yang dibaling oleh Maisarah.
‘’Hahaha, itulah padan muka ejek aku lagi! Nasib baik lari kalau tidak aku baling-baling lagi’’ gembira Maisarah kerana budak-budak lelaki yang mengejeknya tidak berani mengejeknya lagi dan terus beredar di tempat itu.

‘’Awak ini maisarah, kalau mereka tercedera bagaimana? Janganlah baling batu terhadap mereka!’’ tegah Suhaila terhadap Maisarah yang bersikap ganas terhadap budak-budak lelaki itu.
‘’Awk, pun nak kena baling batu juga ke?’’ amaran daripada Maisarah terhadap Suhaila kerana tidak memihak kepada dirinya yang sedang geram mendapat ejekan Tomboy daripada sekumpulan budak lelaki itu.
‘’opppsss sorry Tomboy’’ Suhaila segera mengayuh basikalnya.




BAB 4 : Rumah Maisarah

Pada waktu malam, Maisarah begitu letih sehingga terlupa akan menyiapkan tugasan sekolahnya yang perlu dihantar pada hari esok. Maisarah segera mendapatkan bantal...
... BERSAMBUNG,......,..

Pertandingan Menulis Esei : Penulisan Esei Mengenai Konteks Hijabers

Penulisan Esei Mengenai Konteks Hijabers

Konteks sebenar Hijabers adalah aktiviti di mana semua komuniti dapat memperoleh ilmu pengetahuan dari masa ke masa melalui pelbagai pendapat dan perkongsian sesama wanita muslimah. Daripada perkataan Hijabers itu sendiri dapat dilihat dengan perkataan lain iaitu ‘Hijab’ sesuatu kain yang dapat menutupi aurat wanita yang sememangnya mengikut agama Islam bahawa seluruh badan wanita adalah aurat kecuali wajah dan telapak tangan seperti mana yang disebutkan dalam mazhab Malik dan Asy-Syafie. Tambahan pula, mengenai konsep Hijabers dapat kita tinjau bahawa usaha untuk sesuatu yang dipakai bagi menutupi seluruh aurat wanita seperti menggunakan kain, baju dan tudung. Penekanan terhadap Hijabers adalah berfungsi untuk menutup aurat wanita seperti mana dalam keadaan seseorang wanita itu ketika menunaikan solat. Ketika menunaikan solat, hanya wajah dan telapak tangan sahaja yang dibolehkan untuk berkeadaan terbuka dan kebiasaannya, wanita mengunakan kain sembahyang yang dikenali sebagai telekung sebagai hijab. Apabila komuniti Hijabers Malaysia diperkenalkan, penulis beranggapan bahawa, pemakaian seseorang wanita bukan sahaja menitik beratkan kepada pemakaian yang mengikut syriat Islam, malah mengikut peredaran zaman tetapi masih mengikut syariat Islam, kerana bagi agama Islam tidak menghalang seseorang itu untuk berfesyen, tetapi hendaklah mengikut syarak. Hal ini, disebabkan Islam adalah mementingkan kepada keindahan, kekemasan dan kecantikan mahupun dalaman dan luaran. Tegasnya bahawa, kecantikan dalaman yang dijaga seperti menunaikan solat lima waktu, berzikir, membaca al Quran dan berpuasa dapat membentuk rohani yang baik malah juga membentuk perspektif dan memiliki gaya keterampilan yang menyerlah dan berseri bagi seseorang wanita muslimah itu.

            Sebut sahaja tentang Hijab, sudah pasti ramai wanita di luar sana mengaitkan tentang pemakaian tudung yang sememangnya menjadi suatu perkara wajib kepada wanita muslimah. Namun begitu, pemakaian tudung perlu ada caranya yang bukan sahaja ingin tampak cantik dan indah, namun perlu menitik beratkan pemakaian tudung mengikut syariat Islam. Hakikatnya, sebagai wanita muslimah perlulah kita ketahui bahawa para wanita yang hidup secara bebas, membiarkan tubuhnya terbuka sesungguhnya telah menodai haknya sendiri, hak keluarga dan juga masyarakat. Sesungguhnya, ketahuilah kita mengenai perintah Allah mengenai pakaian kepada manusia, agar dengan pakaian itu kita dapat menutupi aurat, sebagaimana dalam firman-Nya, dalam Surah Al-A’raf ayat 26 yang menyatakan bahawa ‘’Wahai anak cucu Adam! Sesungguhnya Kami telah menyediakan pakaian untuk menutupi auratmu dan juga perhiasan bagimu. Tetapi pakaian taqwa, itulah yang lebih baik. Demikianlah sebahagian tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka ingat.’’ Ayat dalam surah Al-A’raf itu sudah terbukti Allah SWT menegaskan kepada kita khususnya wanita muslimah agar menutupi aurat kita dengan pakaian tetapi perlu menampilkan ciri-ciri ketaqwaan seseorang itu. Jelaslah bahawa, pemakaian tudung bukan sahaja untuk berfesyen akan tetapi perlu mengikut syriat Islam mengenai pemakaian tudung yang menutupi kepala wanita sehingga menutupi dadanya. Sekaligus, dapat menutup aurat, berupa leher dan bahagian dada, yang bererti hanya boleh membuka wajah dan telapak tangan.

            Syukur alhamdulilah, penulis dapat bersama-sama mengikuti perkembangan Community Hijabers Malaysia adalah kerana takdir Allah SWT yang mengizinkan penulis untuk dapat menyertai komuniti tersebut. Sumbangan yang dapat diberikan dalam komuniti tersebut adalah dengan mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara sesama kita sebagai wanita muslimah. Dalam komuniti masing-masing haruslah saling memberi nasihat yang baik kepada yang lain, menyuruh kepada yang makruf dan melarang dari yang mungkar. Selain itu, sumbangan yang dapat dilakukan dalam ruangan komuniti Hijabbers adalah mengenai perkongsian pandangan bukan sahaja memberi tips kecantikan dan kesihatan untuk wanita malah memberi ilmu pengetahuan mengenai isu-isu semasa mengenai wanita dan juga negara. Hal ini disebabkan, kita sebagai wanita muslimah yang mengikut memikirkan urusan umat, bukan hanya sekadar sibuk dengan urusan perhiasan untuk menarik perhatian orang lain. Malah, dengan komuniti ini dapat memberi sumbangan dan bantuan kepada pihak yang memerlukan di samping memperoleh keredaan Allah SWT.

            Community Hijabers Malaysia telah menarik ramai ahli tidak kira mengikut peringkat umur dan juga datangnya dari pelbagai negeri dalam Malaysia. Pelbagai aktiviti yang ingin dilaksanakan bagi mengeratkan lagi hubungan yang lebih erat antara komuniti dalam Hijabers itu sendiri. Aktiviti yang dapat dijalankan salah satunya adalah, program yang dapat membentuk personaliti terhadap wanita muslimah itu sendiri. Program-program seperti itu dapat dijalankan dengan melaksanakan program yang berkaitan dengan bengkel dan kerjaya untuk memberi inspirasi kepada komuniti Hijabbers itu sendiri sebagai wanita muslimah yang hebat. Program yang diilhamkan oleh penulis bukan sahaja membentuk personaliti daripada segi pemakaian malah ingin membentuk wanita muslimah yang mempunyai ciri-ciri karisma yang masing-masing mempunyai kelebihan seperti pendidikan, kerjaya dan kemahiran yang sedia ada.

            Kesimpulannya, sokongan yang padu daripada kalangan komuniti Hijabers yang baik dan meyakinkan merupakan sesuatu yang amat penting bagi membuktikan bahawa wanita muslimah amat berharga dan bernilai di mata dan di hati bagi setiap umat di muka bumi ini. Oleh itu, penulis mempunyai Tagline yang sesuai mengenai komuniti Hijabbers itu sendiri iaitu ‘’Wanita Muslimah Arahkan Dirimu Kepada Perhiasan yang Tidak Akan Punah, iaitu Perhiasan yang Ada di Syurga’’. Seperti mana tagline ini, penulis cuba kaitkan dengan Firman Allah SWT dalam surah Al-Kahfi ayat 31 iaitu ‘’mereka diberi hiasan gelang emas dan mereka memakai pakaian hijau dari sutera halus dan sutera tebal, sedang mereka duduk sambil bersandar di atas dipan-dipan yang indah. (itulah) sebaik-baik pahala dan tempat istirahat yang indah’’. Penulis berharap agar kita sama-sama menjadi wanita muslimah yang hebat, bukan sahaja indah di mata, tetapi keindahan yang ingin dikecapi hinggalah keindahan di syurga seperti mana yang dijanjikan Allah SWT.


            Saya perlu dipilih sebagai Top’s Community Hijabers Malaysia kerana saya ingin bersama-sama menyertai program dan aktiviti yang dilaksanakan daripada rakan-rakan Hijabers di seluruh Malaysia dan berkongsi idea yang rasional sebagai membantu aktiviti dan program yang dilaksanakan dengan izin Allah S.W.T.

Penulis,
Siti Norsahliza Wagiah

Penyelidikan Dasar Ekonomi dan Pembangunan Malaysia

PENYELIDIKAN DASAR EKONOMI DAN PEMBANGUNAN MALAYSIA

Tajuk : Penyelidikan terhadap kawasan yang mengalami proses perbandaran dan aktiviti pembangunan.
Lokasi kajian : Pusat Perdagangan Pontian, Johor.
Nama : Siti Norsahliza binti Wagiah.


Tujuan membuat kajian di kawasan yang dipilih :
a)      Mengenalpasti proses perubahan yang berlaku di kawasan tersebut.
b)      Mendapatkan maklumat yang lebih terperinci mengenai aktiviti ekonomi, sosial dan politik di kawasan tersebut yang dapat mewujudkan aktiviti pembangunan.
c)      Mendalami lagi pengetahuan mengenai dasar ekonomi dan pembangunan di kawasan tersebut.

Alasan memilih kawasan yang dipilih sebagai penyelidikan dan kajian :
a)      Terdapat perubahan yang berlaku di kawasan tersebut dari segi infrastruktur, ekonomi, sosial dan politik.
b)      Berhampiran dengan kawasan tempat tinggal penyelidik dan memudahkan penyelidik mengumpul maklumat dengan lebih tepat dan banyak.
c)      Menjadikan penyelidik untuk lebih memahami dan mendalami proses perubahan pembangunan di kawasan tersebut sebagai praktikal semasa pengajian.

Kaedah yang digunakan dalam penyelidikan :
a)      Pengumpulan data dan maklumat
b)      Soal selidik daripada masyarakat setempat
c)      Pemerhatian melalui sejarah bermulanya Pusat Perdagangan Pontian
d)     Gambar sebagai lampiran

e)      Penerangan melalui pemerhatian yang dilakukan oleh penyelidik.




Impak Aktiviti Pembangunan Terhadap Alam Sekitar serta Implikasi Polisi yang Bersesuaian

Impak Aktiviti Pembangunan Terhadap Alam Sekitar serta Implikasi Polisi yang Bersesuaian.

Oleh : Siti Norsahliza Wagiah




PENGENALAN

Alam bermaksud dunia, bumi atau segala yang terdapat di langit dan di bumi manakala sekitar bermaksud di tempat atau di sekeliling. Perkataan “alam sekitar” atau dalam bahasa Inggeris disebut “environment” membawa maksud keadaan sekeliling atau lingkungan. Oleh itu, sekirannya berdasarkan kepada terjemahan literal, maka perkataan “alam sekitar” adalah menuju pada apa sahaja yang melingkungi manusia. Bagaimanapun, secara khusus perkataan alam sekitar merujuk pada fenomena fizikal sama ada biotik atau abiotik yang melingkungi suatu organisma. Fenomena fizikal ini termasuk juga fenomena yang berkait dengan iklim dan cuaca. (Mohd Zuhdi Marsuku, 2002).

Terdapat satu lagi definsi alam sekitar. Namun ia lebih kepada kefahaman “environmentalisme“. Dijelaskan bahawa ia merupakan satu istilah geografi tentang doktrin falsafah yang memberikan penekanan terhadap aspek fizikal alam sekitar seperti keadaan iklim dunia yang berkait dengan aktiviti manusia.

Kesemua definisi yang dikemukakan di atas secara umumnya menjelaskan alam sekitar adalah keseluruhan fenomena sekeliling yang boleh mempengaruhi kehidupan sesuatu organisma. Definisi ini adalah definisi yang diterima dalam pengajian Sains Alam Sekitar yang hanya terbatas kepada fenomena fizikal sesuai dengan pandangan semesta moden yang berteraskan kepada metode emperikal.

Alam sekitar Malaysia telah mengalami pelbagai perubahan sejak mula diduduki manusia lagi, tetapi kadar perubahan tersebut didapati telah meningkat terutama dalam dekad-dekad pembangunan negara ini. Sumber terpenting dalam percetusan perubahan pesat ini berpunca daripada kegiatan manusia menggunakan aspek tertentu alam sekitar untuk memenuhi keperluan kehidupan harian mereka. Manusias sendiri merupakan sebahagian daripada alam sekitar sejagat maka perubahan yang mereka hasilkan akan lama-kelamaan memepengaruhi kembali kehidupan mereka. Dalam konteks ini hubungan manusia dan aspek lain alam sekitar itu adalah begitu rapat.

            Perubuhan yang ketara juga akan dialami berikutan dengan tindakan manusia. Di Malaysia, punca peningkatan tindakan manusia terhadap persekitarannya adalah pertambahan dari segi kuantiti dan kualitinya. Hal ini dipertingkatkan lagi oleh peranan dasar kerajaan yang menumpu pada kegiatan untuk meningkatkan kesejahteraan penduduknya. Dekad-dekad selepas merdeka, penumpuan telah diberikan pada pembangunan sosioekonomi terutama ke arah mempertingkatkan lagi kegiatan pertanian. Begitu juga, sector perindustrian dan pembuatan di bandar-bandar mengalami pertumbuhan yang sangat digalakkan. Ombak pembangunan ini diteruskan lagi dengan lebih giat dan menyeluruh selepas Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan. Secara ringkas, dalam dekad-dekad pembangunan ini, alam sekitar Malaysia telah berubah dengan pesatnya.

            Alam sekitar yang mengalami perubahan pesat kini telah bermula untuk mengancam kehidupan masyarakat, kehidupan flora dan fauna sehinggakan terdapat aspek-aspek tertentu yang tidak boleh diabaikan begitu sahaja. Sebagai contoh, air dan udara yang dianggap sentiasa ada dan bersih kini mungkin sudah jadi semakin terancam oleh kegiatan manusia sendiri.

KESAN POSITIF DAN KEBERKESANAN TERHADAP POLISI
            Tanggapan manusia terhadap alam sekitar, pembangunan ekonomi dan hubungan antara keduanya semakin berubah. Isu alam sekitar semakin membimbangkan kerana demi meningkatkan pembangunan, alam sekitar juga perlu dititikberatkan. Pembangunan dapat dilihat secara menyeluruh yang berkaitan dengan ekonomi. Namun begitu, pembangunan juga dapat memberi kesedaran dan kepentingan terhadap alam sekitar. Pendekatan pembangunan terhadap alam sekitar ini untuk mengimbangkan permintaan manusia dan keupayaan daya tampung alam sekitar akibat kendalian sistem ekonomi. Pendekatan ini digelar sebagai pembangunan lestari. Apabila pembangunan bergiat lebih maju dan prestasinya meningkat, aspek alam sekitar terutama yang melibatkan sumber alam semula jadi yang sememangnya tidak boleh diperbaharui perlu dihadkan untuk memberi peluang kepada generasi pada masa hadapan turut dapat menikmati. Pembangunan lestari menjadi kesan yang positif kerana pembangunan lestari merupakan satu konsep kemajuan yang mengekalkan sumber alam semula jadi dan ekosistemnya terjaga walaupun berlakunya pembangunan. Pembangunan lestari ini bukan sahaja dapat memberi impak yang positif pada masa hadapan, malah negara yang membangun juga sentiasa membuat penyelidikan terhadap alam sekitar. Usaha yang dilakukan dapat memupuk tahap kemampuan ke arah peningkatan inovasi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang lebih baik dengan menumpukan pembangunan yang lebih baik tetapi tidak mengetepikan kepentingan alam sekitar. Oleh hal demikian, kerajaan telah menekankan satu dasar untuk pembangunan yang lestari. Kerajaan berusaha melaksanakan Dasar Alam Sekitar negara. Sehubungan dengan itu, pelaksanaan dasar yang menekankan pembangunan yang mampan dengan memperkenalkan pendidikan lestari. Oleh itu, pendidikan dan kesedaran terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar memerlukan pengetahuan, kefahaman, perubahan sikap dan penyertaan masyarakat.

Pendidikan mengenai Alam Sekitar adalah antara kesan positif yang lebih menjurus untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan alam sekitar terhadap peningkatan pertumbuhan pembangunan yang berlaku secara mendadak di Malaysia. Hal ini demikian kerana tahap kesedaran yang ditunjukkan daripada kesan pembangunan ini adalah masih berada di tahap yang rendah. Pada tahun 1975, orang ramai kian bertambah sedar mengenai kemerosotan alam sekitar dan telah membayangkan ketidakselesaan terhadap perkembangan bencana di Malaysia. Oleh itu, pendidikan alam sekitar dijangka boleh menyumbang dan mempengaruhi pengurusan alam sekitar yang berkesan. Ia memerlukan rasa tanggungjawab dan setiap individu untuk mengetahui, menahami dan bertindak dengan cara yang boleh melindungi dan memelihara alam sekitar. Fungsi utama pendidikan alam sekitar adalah untuk membolehkan manusia mengenal huruf dan berpengetahuan bukan sahaja dalam persekitaran terdekat mereka tetapi juga keadaan yang melampaui batas. Pendidikan alam sekitar sepatutnya bermula di peringkat awal persekolahan dan seharusnya dimasukkan ke dalam kurikulum pada semua peringkat untuk semua rakyat dalam negara kita. Ia sepatutnya menjadi satu proses pendidikan sepanjang hayat kerana seseorang perlu dididik secara berterusan mengenai perkembangan-perkembangan baru untuk memupuk tanggapan dan nilai yang baik. Rancangan Malaysia Ketiga juga telah merangka Dasar Alam Sekitar. Rancangan Malaysia Ketiga mengawasi objektif-objektif untuk mengimbangkan pembangunan ekonomi dengan memberi penumpuan terhadap perlindungan alam sekitar. (Abdul Samad Hadi, 1990) Rancangan ini telah menggariskan dasar-dasar dan rancangan-rancangan yang diperlukan untuk perlindungan dan pengurusan alam sekitar. Di samping itu, penekanan ini juga diberi untuk memastikan keberkesanan rang undang-undang yang telah ditentukan. Matlamat ini hanya boleh dicapai sekiranya rakyat memahami dan menghormati undang-undang dan dasar-dasar tersebut.

            Antara aktiviti pembangunan yang memberikan impak positif kepada alam sekitar ialah pengaplikasian teknologi hijau dalam pembangunan alam sekitar . Teknologi hijau merupakan pengaplikasian sains alam sekitar untuk memulihara sumber alam semula jadi bagi mengatasi impak negatif yang disebabkan oleh aktiviti manusia iaitu teknologi yang rendah karbon dan bersifat lebih mesra alam berbanding dengan teknologi sedia ada.. Selain itu, pengaplikasiaan teknologi hijau dalam pembangunan ini juga dapat menggalakkan sumber-sumber diperbaharui. Matlamat kebangsaan mengenai Dasar Teknologi Hijau yang pertama terkandung dalam matlamat Jangka Pendek (Rancangan Malaysia ke-10) iaitu meningkatkan kesedaran  kepada masyarakat untuk menerima dan menerapkan teknologi hijau melalui perlaksanaan program-program yang berkaitan dengan teknologi hijau . Matlamat kedua Jangka Pendek (Rancangan Malaysia ke-10) ialah membuat persediaan dan mengiktiraf teknologi hijau dari segi produk, aplikasi, peralatan dan sistem di pasaran tempatan melalui piawaian, perkadaran, pelabelan .Matlamat ketiga ialah Pelaburan Langsung Asing (Foreign Direct Investments, FDIs) dan Pelaburan Langsung Tempatan (Domestic Direct Investments, DDIs) yang lebih besar dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan teknologi hijau dan institusi-institusi penyelidikan tempatan dan institusi pengajian tinggi mengembangkan penyelidikan, pembangunan dan aktiviti inovasi mengenai teknologi hijau ke arah pengkomersialan menerusi mekanisme yang sesuai. Buktinya , Malaysia menjadi pengeluar utama teknologi hijau diperingkat pasaran antarabangsa. Pengaplikasian teknologi hijau merupakan aktiviti pembangunan yang memberi kesan positif kepada alam sekitar seperti dapat mengatasi masalah kemusnahan alam sekitar dan sumber asli, peningkatan kualiti kehidupan, memelihara ekosistem, serta mengurangkan bebanan kos kepada kerajaan.

            Antara aktiviti pembangunan yang memberikan kesan atau impak positif terhadap alam sekitar  adalah melalui perancangan bangunan hijau atau ‘green buldings” yang merupakan salah satu aktiviti ke arah pembangunan yang mampan. Bangunan hijau sebenarnya telah terdapat di Malaysia sejak tahun 2005 lagi yang dikenali sebagai GTower yang mana ianya terletak di Jalan Tun Razak dan berhampiran dengan bangunan KLCC. Ciri-ciri bangunan ini yang mengangumkan dan amat menitikberatkan kepentingan alam sekitar dalam corak pembangunannya telah menyebabkan GTower ini mendapat pengiktirafan sebagai Green Mark Gold dari Building and Construction Authority of Singapore (BCA). Bangunan hijau adalah pembinaan bangunan yang menekankan kepentingan terhadap elemen alam semulajadi dari segi lakaran pembinaannya, operasi, selenggara sehinggalah ke peringkat pengubahsuaian. Tujuan utama teknologi ini dilaksanakan adalah untuk mengurangkan impak-impak negatif yang berlaku akibat kepesatan proses pembangunan, sebagaimana yang kita tahu aktiviti pembangunan sebenarnya telah banyak memberi kesan yang buruk kepada alam sekitar kita. Oleh itu, melalui aktiviti bangunan hijau ini, alam sekitar mampu diselamatkan walaupun proses pembangunan tetap terlaksana. Hal ini sejajar dengan matlamat Dasar Alam Sekitar Negara yang telah diwujudkan untuk meneruskan kemajuan negara dari segi ekonomi, sosial dan budaya dan juga kualiti hidup masyarkat Malaysia menerusi kesejahteraan alam sekitar dan juga pembangunan yang lestari. Selain itu, Green Bulding juga sesuai dikaitkan dengan tujuan dasar ini yang menfokuskan kepada alam sekitar yang bersih, selamat, sihat dan produktif bagi generasi pada masa kini dan juga untuk generasi yang akan datang. Hal ini demikian kerana melalui pembangunan Bangunan Hijau atau Green Bulding, kesejahteraan alam sekitar dapat dikurangkan dan ini sudah pasti dapat mencapai tujuan  Dasar Alam Sekitar tambahan lagi ia sudah semestinya berkait rapat juga dengan strategi hijau Malaysia arah hadapan yang termaktud dalam Dasar Alam Sekitar Negara.

Penciptaan Green Bulding ini sebenarnya merupakan satu inovasi baru yang dilaksanakan di Malaysia. Selain daripada ia menjaga kesejahteraan alam sekitar, proses pembangunanya juga hanya melibatkan kos yang rendah melalui penjimatan sumber tenaga yang digunakan. Oleh itu, secara tidak langsung, Green Bulding ini akan dapat menguragkan kos operasi pembangunan dan dapat memuliharakan alam sekitar kita. Tambahan lagi, ia mempunyai kawalan terhadap suhu dan ventilasinya dan ini merupakan satu kebajikan yang dapat kita perolehi daripadanya untuk kepentingan alam sekitar. Hasilnya juga ia dapat menjaga kesihatan masyarakat yang tinggal di dalam bangunan tersebut daripada sinar ultra yang membahayakan kesihatan akibat daripada ketidakseimbangan suhu persekitaran dan juga pendedahan sinaran ultra. Ini telah menunjukkan bahawa Green Bulding bukan sahaja dapat menjaga alam sekitar kita disamping melaksanakan proses pembangunan negara malah turut menjaga kesihatan masyarakat.

KESAN NEGATIF DAN KEBERKESANAN TERHADAP POLISI
Negara semakin mengorak langkah kehadapan bagi menjadikan negara sebagai salah sebuah negara maju. Selaras dengan itu perkembangan itu sektor perindustrian menjadi semakin berkembang di Malaysia dan banyak kilang-kilang telah didirikan diibaratkan sebagai cendawan tumbuh selepas hujan. Namun kehadiran kilang-kilang ini telah meninggalkan kesan pada alam sekitar dengan pelbagai pencemaran air dan udara telah diakibatkan oleh sektor perkilangan ini. Terdapat segelintir kilang-kilang yang membiarkan sisa-sisa kumbahan serta bahan toksid yang beracun mengalir ke dalam sungai yang berdekatan tanpa merawatnya. Selain itu terdapat juga segelintir kilang yang melepaskan asap-asap yang hitam dan kotor ke udara atmosfera. Kandungan CFC serta Karbon dioksida yang dilepaskan itu boleh menimbulkan pelbagai penyakit kepada manusia.. Mengikut laporan yang dibuat oleh Jabatan Alam Sekitar sekitar tahun 2001 dari 933,000 tan jumlah keluaran bahan-bahan pencemaran udara di Malaysia berpunca dari stesen jana kuasa (23.9 %), pembakaran bahan api industri (9.4 %), pemprosesan industri (3.9%) dan pembakaran terbuka (4.9%). Ekoran dari peristiwa Pantai Barat Semenanjung Malaysia yang dilanda jerebu kerajaan telah membuat satu perjanjian dengan anggota ASEAN mengenai Perjanjian Jerebu Merentasi Sempadan. Intipati yang terkandung dalam perjanjian ini adalah semua negara anggota bekerjasama mencegah jerebu melalui kawalan kebakaran, mewujudkan sistem amaran awal, bertukar maklumat dan teknologi serta bersama menyediakan bantuan yang diperlukan oleh negara anggota yang lain. Selain itu kerajaan juga telah mengenakan piawaian kandungan plumbum dalam petrol yang lebih ketat dan kempen menggalakkan penggunaan petrol tanpa plumbum. Kesannya kandungan purata tahunan plumbum di Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Shah Alam menurun di antara tahun 1988 dan 1997. Selain itu juga, pada Ogos 2005, pantai barat Semenanjung Malaysia juga dilanda masalah yang sama akibat pembakaran hutan dan mengakibatkan dua kawasan diisytiharkan darurat iaitu Pelabuahan Klang dan Kuala Selangor setelah indek pencemaran udara (IPU) dikawasan itu melebihi 500. Perjanjian berkenaan ditandatangani menteri yang bertanggungjawab mengenai alam sekitar, menggariskan komitmen negara anggota menangani masalah berkaitan pada peringkat kebangsaan dan serantau tanpa mekanisme penguatkuasaan oleh mana-mana negara terhadap rakan lain. 

Dalam usaha untuk bersaing dengan negara lain, banyak negara telah menjalankan projek-projek pembangunan bagi memantapkan kedudukan mereka. Di Malaysia, setelah negara mencapai kemerdekaan, banyak kawasan hutan yang telah diterokai untuk  tujuan pembangunan bagi memenuhi keperluan masyarakat dan negara. Walaupuan projek pembangunan ini telah banyak memberi manfaat kepada masyarakat setempat namun ia juga turut memberi impak buruk kepada alam sekitar khususnya kepada kawasan hutan. Dalam hal ini, apabila semakin banyak pembangunan fizikal di lakukan ini sudah pasti menyebabkan banyak kawasan hutan yang akan diterokai dan ini telah menjadi faktor penyumbang pada kemerosotan luas kawasan hutan. Berdasarkan laporan FOA (Food and Agriculture Organization of the United Nations, 2004), di Malaysia purata kadar kehilangan hutan setiap tahun pada 1990-an dianggarkan sebanyak 237,000 hektar atau 1.2%. Justeru itu, bagi mengatasi masalah ini kerajaan telah memperkenalkan Dasar perhutanan negara pada 1978. Melalui dasar ini, kerajaan telah memperuntukkan kawasan hutan simpan dan telah memindah akta dan oridanan yang sedia ada agar selaras dengan dasar ini. Impak dari pengenalan dasar ini dapat dilihat dengan adanya pengurusan hutan secara lestari. Sebagai contoh, kerajaan telah mengklasifikasikan kawasan hutan simpan kepada empat fungsi utama yang merangkumi kawasan, perlindungan, pengusahahasilan, kemudahan dan penyelidikan dan pendidikan. Selain itu, Malaysia juga turut berjaya mengurangkan kadar pembalakan haram di negara ini dengan adanya penyelarasan dasar perhutanan dan undang-undang negara.

            Setiap negeri mempunyai polisi pembangunan iaitu kawasan yang telah dikenal pasti oleh pihak Jabatan Alam Sekitar yang telah digazetkan sebagai kawasan larangan pembangunan. Kawasan yang telah digazetkan sensitif pembangunan adalah termaktub dan diguna pakai dalam pelan pengezonan Rancangan Tempatan bagi setiap negeri yang mana telah menjadi rujukan pembangunan bagi setiap pemaju atau pemilik tanah. Implikasi polisi yang bersesuaian dalam prasyarat pembangunan ialah Penilaian Impak Alam Sekitar atau Environmental Impact Assessment (EIA) adalah kajian untuk mengenal pasti, meramal, menilai dan menyampaikan maklumat mengenai impak ke atas persekitaran projek yang dicadangkan dan memperincikan langkah-langkah sebelum kelulusan dan pelaksanaan projek. EIA asasnya adalah satu alat perancangan untuk mengatasi masalah alam sekitar yang disebabkan oleh tindakan manusia. Ia bertujuan untuk mengurangkan kesilapan yang besar di dalam pelaksanaan projek, sama ada kerana kerosakan alam sekitar yang mungkin timbul semasa pelaksanaan projek, atau kerana pengubahsuaian yang mungkin diperlukan. Di Malaysia, EIA diperlukan di bawah seksyen 34A, Akta Alam Sekitar dan Kualiti, 1974. (Deparment of Environment, 2011).  Impak negatif aktiviti pembangunan terhadap alam sekitar ialah khazanah alam semula jadi yang semakin pupus (Debat Pelajar). Pembukaan bandar-bandar baru telah menyebabkan banyak penerokaan hutan dan pemotongan bukit yang terlarang seperti yang telah termaktub di dalam EIA dan Rancangan Tempatan adalah semakin berleluasa. Hal ini telah menyebabkan kebanyakan habitat hidupan liar kehilangan habitat. Kejadian tanah runtuh juga akan berlaku seperti di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur adalah merupakan salah satu contoh pembangunan yang tidak mengikuti spesifikasi pembangunan dari segi aspek EIA. Kejadian tersebut telah menyebabkan banyak nyawa terkorban.

KESIMPULAN
            Alam sekitar menyumbangkan banyak perkhidmatan atau kemudahan penting kepada manusia. Ia bukan sahaja merupakan tabung sumber-sumber alam yang sebahagian daripadanya digunakan sebagai bahan-bahan input bagi proses pengeluaran dan penggunaan tetapi ia juga merupakan aspek penting bagi kehidupan manusia atas muka bumi. Alam sekitar sememangnya memainkan peranan yang penting dalam pembangunan negara. Sebagai negara pengeluar bahan-bahan utama, Malaysia bergantung kuat pada pengeluaran sumber-sumber alam sebagai sumber-sumber pendapatan daripada dalam dan luar negeri. Sebaliknya, manusia tidak menghargai sumber yang dimiliki sekarang telah menyebabkan alam sekitar dalam proses pengeluaran telah diabaikan dan muncul berbagai-bagai bentuk pencemaran. Usaha-usaha untuk mengatasi masalah ini telah dijalankan terutama dalam bentuk undang-undang dan kawalan. Walaupun tindakan ini merupakan langkah yang penting, ia tidak mungkin dapat mengatasi masalah alam sekitar secara keseluruhan.

            Secara amnya, pembentukan Akta Kualiti Alam Sekitar 1974, sebenarnya merupakan sebagai salah satu aspek yang penting dalam proses pembangunan negara. Sebelum itu masalah kemerosotan alam sekitar hanya merupakan masalah sampingan dan walaupun terdapat undang-undang tertentu namun pihak yang bertanggungjawab dengan penguatkuasa boleh dikatakan tidak berfungsi dengan sepenuhnya dalam pelaksanaan. Walau bagaimanapun, selepas terbentukny Akta Kualiti Alam Sekitar 1974, situasi telah berubah dalam mewujudkan penguatkuasa yang ketat dalam menjaga kualiti alam sekitar sekeliling.

         Kerajaan, sektor awam, sektor swasta dan juga masyarakat seharus bersama-sama bertanggungjawab dalam memastikan alam sekitar kita terpelihara. Kerajaan pusat telah menetapkan satu Dasar Alam Sekitar Negara iaitu mementingkan kerjasama rapat antara kerajaan pusat dengan kerajaan-kerajaan negeri dalam keperluan pembangunan sosioekonomi mestilah seimbang dengan keadaan sekeliling. Langkah-langkah yang diambil setakat ini telah menunjukkan prestasi dan kesan yang baik sesungguhpun terdapat lagi ruang yang perlu diperbaiki lagi. Dengan kerjasama semua pihak, Malaysia akan dapat mencapai pembangunan sosioekonomi di samping menikmati keselesaan alam sekitar demi mencapai taraf negara maju menjelang tahun 2020 seiring dengan wawasan 2020.









RUJUKAN
Abdul Samad Hadi. (1990). Pembangunan dan alam sekitar di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Department of Environment Malaysia. (2002, October 21). National Policy on Environment. Retrieved from http://www.doe.gov.my/portal/wpcontent/uploads/2010/07/dasar_alam_sekitar_negara.pdf   
Deparment of Environment Malaysia. (2011  July 6). Environmental Impact Assessment (EIA)
Debat Pelajar. (n.d.). Pembangunan bandar menjejaskan warisan negara. Retrieved from
Food and Agriculture Organization of the United Nations. (2004 May). Forests and foresty sector: Malaysia. Retrieved from http://www.fao.org/forestry/country/57478/en/mys/
Jabatan pengairan dan Saliran negeri Melaka. (2012, June 16). Program kempen kesedaran alam sekitar. Retrieved from: http://jps.melaka.gov.my/ms/pusat-media/berita-terkini/111-program-kempen-kesedaran-alam-sekitar-pada-2362012.html
Kerajaan Malaysia. (1981). Rancangan Malaysia Ketiga 1981-1985. Kuala Lumpur: Percetakan Nasional Malaysia Berhad.
Kerajaan Malaysia. (2010). Rancangan Malaysia Kesepuluh 2011-2015.  Putrajaya: Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.
Malaysian Timber Council. (2007). Malaysia: Pengurusan hutan mampan. Retrieved from http://www.mtc.my/info/images/stories/pdf/pengurusan_hutan.pdf
Todaro, M. P. & Smith, S. C. (2011). Bab 10 The environment and development. Economic Development  (Eleventh Edition). England: Addison Wesley Pearson Education Limited.
Yee, T. H. (2011, January 14). Bangunan hijau ke arah pembangunan mampan. Retrieved   from http://www.konsumerkini.net.my/v1/index.php/berita-terkini/alam-sekitar/533-bangunan-hijau-ke-arah-pembangunan-mampan  
Zawawi Ibrahim & Sharifah Zarina Syed Zakaria. (2009). Alam sekitar dan perspektif sains sosial di Malaysia [Electronic version]. Akademika 76, 43-66.