Friday, 3 January 2014

Impak Aktiviti Pembangunan Terhadap Alam Sekitar serta Implikasi Polisi yang Bersesuaian

Impak Aktiviti Pembangunan Terhadap Alam Sekitar serta Implikasi Polisi yang Bersesuaian.

Oleh : Siti Norsahliza Wagiah




PENGENALAN

Alam bermaksud dunia, bumi atau segala yang terdapat di langit dan di bumi manakala sekitar bermaksud di tempat atau di sekeliling. Perkataan “alam sekitar” atau dalam bahasa Inggeris disebut “environment” membawa maksud keadaan sekeliling atau lingkungan. Oleh itu, sekirannya berdasarkan kepada terjemahan literal, maka perkataan “alam sekitar” adalah menuju pada apa sahaja yang melingkungi manusia. Bagaimanapun, secara khusus perkataan alam sekitar merujuk pada fenomena fizikal sama ada biotik atau abiotik yang melingkungi suatu organisma. Fenomena fizikal ini termasuk juga fenomena yang berkait dengan iklim dan cuaca. (Mohd Zuhdi Marsuku, 2002).

Terdapat satu lagi definsi alam sekitar. Namun ia lebih kepada kefahaman “environmentalisme“. Dijelaskan bahawa ia merupakan satu istilah geografi tentang doktrin falsafah yang memberikan penekanan terhadap aspek fizikal alam sekitar seperti keadaan iklim dunia yang berkait dengan aktiviti manusia.

Kesemua definisi yang dikemukakan di atas secara umumnya menjelaskan alam sekitar adalah keseluruhan fenomena sekeliling yang boleh mempengaruhi kehidupan sesuatu organisma. Definisi ini adalah definisi yang diterima dalam pengajian Sains Alam Sekitar yang hanya terbatas kepada fenomena fizikal sesuai dengan pandangan semesta moden yang berteraskan kepada metode emperikal.

Alam sekitar Malaysia telah mengalami pelbagai perubahan sejak mula diduduki manusia lagi, tetapi kadar perubahan tersebut didapati telah meningkat terutama dalam dekad-dekad pembangunan negara ini. Sumber terpenting dalam percetusan perubahan pesat ini berpunca daripada kegiatan manusia menggunakan aspek tertentu alam sekitar untuk memenuhi keperluan kehidupan harian mereka. Manusias sendiri merupakan sebahagian daripada alam sekitar sejagat maka perubahan yang mereka hasilkan akan lama-kelamaan memepengaruhi kembali kehidupan mereka. Dalam konteks ini hubungan manusia dan aspek lain alam sekitar itu adalah begitu rapat.

            Perubuhan yang ketara juga akan dialami berikutan dengan tindakan manusia. Di Malaysia, punca peningkatan tindakan manusia terhadap persekitarannya adalah pertambahan dari segi kuantiti dan kualitinya. Hal ini dipertingkatkan lagi oleh peranan dasar kerajaan yang menumpu pada kegiatan untuk meningkatkan kesejahteraan penduduknya. Dekad-dekad selepas merdeka, penumpuan telah diberikan pada pembangunan sosioekonomi terutama ke arah mempertingkatkan lagi kegiatan pertanian. Begitu juga, sector perindustrian dan pembuatan di bandar-bandar mengalami pertumbuhan yang sangat digalakkan. Ombak pembangunan ini diteruskan lagi dengan lebih giat dan menyeluruh selepas Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan. Secara ringkas, dalam dekad-dekad pembangunan ini, alam sekitar Malaysia telah berubah dengan pesatnya.

            Alam sekitar yang mengalami perubahan pesat kini telah bermula untuk mengancam kehidupan masyarakat, kehidupan flora dan fauna sehinggakan terdapat aspek-aspek tertentu yang tidak boleh diabaikan begitu sahaja. Sebagai contoh, air dan udara yang dianggap sentiasa ada dan bersih kini mungkin sudah jadi semakin terancam oleh kegiatan manusia sendiri.

KESAN POSITIF DAN KEBERKESANAN TERHADAP POLISI
            Tanggapan manusia terhadap alam sekitar, pembangunan ekonomi dan hubungan antara keduanya semakin berubah. Isu alam sekitar semakin membimbangkan kerana demi meningkatkan pembangunan, alam sekitar juga perlu dititikberatkan. Pembangunan dapat dilihat secara menyeluruh yang berkaitan dengan ekonomi. Namun begitu, pembangunan juga dapat memberi kesedaran dan kepentingan terhadap alam sekitar. Pendekatan pembangunan terhadap alam sekitar ini untuk mengimbangkan permintaan manusia dan keupayaan daya tampung alam sekitar akibat kendalian sistem ekonomi. Pendekatan ini digelar sebagai pembangunan lestari. Apabila pembangunan bergiat lebih maju dan prestasinya meningkat, aspek alam sekitar terutama yang melibatkan sumber alam semula jadi yang sememangnya tidak boleh diperbaharui perlu dihadkan untuk memberi peluang kepada generasi pada masa hadapan turut dapat menikmati. Pembangunan lestari menjadi kesan yang positif kerana pembangunan lestari merupakan satu konsep kemajuan yang mengekalkan sumber alam semula jadi dan ekosistemnya terjaga walaupun berlakunya pembangunan. Pembangunan lestari ini bukan sahaja dapat memberi impak yang positif pada masa hadapan, malah negara yang membangun juga sentiasa membuat penyelidikan terhadap alam sekitar. Usaha yang dilakukan dapat memupuk tahap kemampuan ke arah peningkatan inovasi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang lebih baik dengan menumpukan pembangunan yang lebih baik tetapi tidak mengetepikan kepentingan alam sekitar. Oleh hal demikian, kerajaan telah menekankan satu dasar untuk pembangunan yang lestari. Kerajaan berusaha melaksanakan Dasar Alam Sekitar negara. Sehubungan dengan itu, pelaksanaan dasar yang menekankan pembangunan yang mampan dengan memperkenalkan pendidikan lestari. Oleh itu, pendidikan dan kesedaran terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar memerlukan pengetahuan, kefahaman, perubahan sikap dan penyertaan masyarakat.

Pendidikan mengenai Alam Sekitar adalah antara kesan positif yang lebih menjurus untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan alam sekitar terhadap peningkatan pertumbuhan pembangunan yang berlaku secara mendadak di Malaysia. Hal ini demikian kerana tahap kesedaran yang ditunjukkan daripada kesan pembangunan ini adalah masih berada di tahap yang rendah. Pada tahun 1975, orang ramai kian bertambah sedar mengenai kemerosotan alam sekitar dan telah membayangkan ketidakselesaan terhadap perkembangan bencana di Malaysia. Oleh itu, pendidikan alam sekitar dijangka boleh menyumbang dan mempengaruhi pengurusan alam sekitar yang berkesan. Ia memerlukan rasa tanggungjawab dan setiap individu untuk mengetahui, menahami dan bertindak dengan cara yang boleh melindungi dan memelihara alam sekitar. Fungsi utama pendidikan alam sekitar adalah untuk membolehkan manusia mengenal huruf dan berpengetahuan bukan sahaja dalam persekitaran terdekat mereka tetapi juga keadaan yang melampaui batas. Pendidikan alam sekitar sepatutnya bermula di peringkat awal persekolahan dan seharusnya dimasukkan ke dalam kurikulum pada semua peringkat untuk semua rakyat dalam negara kita. Ia sepatutnya menjadi satu proses pendidikan sepanjang hayat kerana seseorang perlu dididik secara berterusan mengenai perkembangan-perkembangan baru untuk memupuk tanggapan dan nilai yang baik. Rancangan Malaysia Ketiga juga telah merangka Dasar Alam Sekitar. Rancangan Malaysia Ketiga mengawasi objektif-objektif untuk mengimbangkan pembangunan ekonomi dengan memberi penumpuan terhadap perlindungan alam sekitar. (Abdul Samad Hadi, 1990) Rancangan ini telah menggariskan dasar-dasar dan rancangan-rancangan yang diperlukan untuk perlindungan dan pengurusan alam sekitar. Di samping itu, penekanan ini juga diberi untuk memastikan keberkesanan rang undang-undang yang telah ditentukan. Matlamat ini hanya boleh dicapai sekiranya rakyat memahami dan menghormati undang-undang dan dasar-dasar tersebut.

            Antara aktiviti pembangunan yang memberikan impak positif kepada alam sekitar ialah pengaplikasian teknologi hijau dalam pembangunan alam sekitar . Teknologi hijau merupakan pengaplikasian sains alam sekitar untuk memulihara sumber alam semula jadi bagi mengatasi impak negatif yang disebabkan oleh aktiviti manusia iaitu teknologi yang rendah karbon dan bersifat lebih mesra alam berbanding dengan teknologi sedia ada.. Selain itu, pengaplikasiaan teknologi hijau dalam pembangunan ini juga dapat menggalakkan sumber-sumber diperbaharui. Matlamat kebangsaan mengenai Dasar Teknologi Hijau yang pertama terkandung dalam matlamat Jangka Pendek (Rancangan Malaysia ke-10) iaitu meningkatkan kesedaran  kepada masyarakat untuk menerima dan menerapkan teknologi hijau melalui perlaksanaan program-program yang berkaitan dengan teknologi hijau . Matlamat kedua Jangka Pendek (Rancangan Malaysia ke-10) ialah membuat persediaan dan mengiktiraf teknologi hijau dari segi produk, aplikasi, peralatan dan sistem di pasaran tempatan melalui piawaian, perkadaran, pelabelan .Matlamat ketiga ialah Pelaburan Langsung Asing (Foreign Direct Investments, FDIs) dan Pelaburan Langsung Tempatan (Domestic Direct Investments, DDIs) yang lebih besar dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan teknologi hijau dan institusi-institusi penyelidikan tempatan dan institusi pengajian tinggi mengembangkan penyelidikan, pembangunan dan aktiviti inovasi mengenai teknologi hijau ke arah pengkomersialan menerusi mekanisme yang sesuai. Buktinya , Malaysia menjadi pengeluar utama teknologi hijau diperingkat pasaran antarabangsa. Pengaplikasian teknologi hijau merupakan aktiviti pembangunan yang memberi kesan positif kepada alam sekitar seperti dapat mengatasi masalah kemusnahan alam sekitar dan sumber asli, peningkatan kualiti kehidupan, memelihara ekosistem, serta mengurangkan bebanan kos kepada kerajaan.

            Antara aktiviti pembangunan yang memberikan kesan atau impak positif terhadap alam sekitar  adalah melalui perancangan bangunan hijau atau ‘green buldings” yang merupakan salah satu aktiviti ke arah pembangunan yang mampan. Bangunan hijau sebenarnya telah terdapat di Malaysia sejak tahun 2005 lagi yang dikenali sebagai GTower yang mana ianya terletak di Jalan Tun Razak dan berhampiran dengan bangunan KLCC. Ciri-ciri bangunan ini yang mengangumkan dan amat menitikberatkan kepentingan alam sekitar dalam corak pembangunannya telah menyebabkan GTower ini mendapat pengiktirafan sebagai Green Mark Gold dari Building and Construction Authority of Singapore (BCA). Bangunan hijau adalah pembinaan bangunan yang menekankan kepentingan terhadap elemen alam semulajadi dari segi lakaran pembinaannya, operasi, selenggara sehinggalah ke peringkat pengubahsuaian. Tujuan utama teknologi ini dilaksanakan adalah untuk mengurangkan impak-impak negatif yang berlaku akibat kepesatan proses pembangunan, sebagaimana yang kita tahu aktiviti pembangunan sebenarnya telah banyak memberi kesan yang buruk kepada alam sekitar kita. Oleh itu, melalui aktiviti bangunan hijau ini, alam sekitar mampu diselamatkan walaupun proses pembangunan tetap terlaksana. Hal ini sejajar dengan matlamat Dasar Alam Sekitar Negara yang telah diwujudkan untuk meneruskan kemajuan negara dari segi ekonomi, sosial dan budaya dan juga kualiti hidup masyarkat Malaysia menerusi kesejahteraan alam sekitar dan juga pembangunan yang lestari. Selain itu, Green Bulding juga sesuai dikaitkan dengan tujuan dasar ini yang menfokuskan kepada alam sekitar yang bersih, selamat, sihat dan produktif bagi generasi pada masa kini dan juga untuk generasi yang akan datang. Hal ini demikian kerana melalui pembangunan Bangunan Hijau atau Green Bulding, kesejahteraan alam sekitar dapat dikurangkan dan ini sudah pasti dapat mencapai tujuan  Dasar Alam Sekitar tambahan lagi ia sudah semestinya berkait rapat juga dengan strategi hijau Malaysia arah hadapan yang termaktud dalam Dasar Alam Sekitar Negara.

Penciptaan Green Bulding ini sebenarnya merupakan satu inovasi baru yang dilaksanakan di Malaysia. Selain daripada ia menjaga kesejahteraan alam sekitar, proses pembangunanya juga hanya melibatkan kos yang rendah melalui penjimatan sumber tenaga yang digunakan. Oleh itu, secara tidak langsung, Green Bulding ini akan dapat menguragkan kos operasi pembangunan dan dapat memuliharakan alam sekitar kita. Tambahan lagi, ia mempunyai kawalan terhadap suhu dan ventilasinya dan ini merupakan satu kebajikan yang dapat kita perolehi daripadanya untuk kepentingan alam sekitar. Hasilnya juga ia dapat menjaga kesihatan masyarakat yang tinggal di dalam bangunan tersebut daripada sinar ultra yang membahayakan kesihatan akibat daripada ketidakseimbangan suhu persekitaran dan juga pendedahan sinaran ultra. Ini telah menunjukkan bahawa Green Bulding bukan sahaja dapat menjaga alam sekitar kita disamping melaksanakan proses pembangunan negara malah turut menjaga kesihatan masyarakat.

KESAN NEGATIF DAN KEBERKESANAN TERHADAP POLISI
Negara semakin mengorak langkah kehadapan bagi menjadikan negara sebagai salah sebuah negara maju. Selaras dengan itu perkembangan itu sektor perindustrian menjadi semakin berkembang di Malaysia dan banyak kilang-kilang telah didirikan diibaratkan sebagai cendawan tumbuh selepas hujan. Namun kehadiran kilang-kilang ini telah meninggalkan kesan pada alam sekitar dengan pelbagai pencemaran air dan udara telah diakibatkan oleh sektor perkilangan ini. Terdapat segelintir kilang-kilang yang membiarkan sisa-sisa kumbahan serta bahan toksid yang beracun mengalir ke dalam sungai yang berdekatan tanpa merawatnya. Selain itu terdapat juga segelintir kilang yang melepaskan asap-asap yang hitam dan kotor ke udara atmosfera. Kandungan CFC serta Karbon dioksida yang dilepaskan itu boleh menimbulkan pelbagai penyakit kepada manusia.. Mengikut laporan yang dibuat oleh Jabatan Alam Sekitar sekitar tahun 2001 dari 933,000 tan jumlah keluaran bahan-bahan pencemaran udara di Malaysia berpunca dari stesen jana kuasa (23.9 %), pembakaran bahan api industri (9.4 %), pemprosesan industri (3.9%) dan pembakaran terbuka (4.9%). Ekoran dari peristiwa Pantai Barat Semenanjung Malaysia yang dilanda jerebu kerajaan telah membuat satu perjanjian dengan anggota ASEAN mengenai Perjanjian Jerebu Merentasi Sempadan. Intipati yang terkandung dalam perjanjian ini adalah semua negara anggota bekerjasama mencegah jerebu melalui kawalan kebakaran, mewujudkan sistem amaran awal, bertukar maklumat dan teknologi serta bersama menyediakan bantuan yang diperlukan oleh negara anggota yang lain. Selain itu kerajaan juga telah mengenakan piawaian kandungan plumbum dalam petrol yang lebih ketat dan kempen menggalakkan penggunaan petrol tanpa plumbum. Kesannya kandungan purata tahunan plumbum di Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Shah Alam menurun di antara tahun 1988 dan 1997. Selain itu juga, pada Ogos 2005, pantai barat Semenanjung Malaysia juga dilanda masalah yang sama akibat pembakaran hutan dan mengakibatkan dua kawasan diisytiharkan darurat iaitu Pelabuahan Klang dan Kuala Selangor setelah indek pencemaran udara (IPU) dikawasan itu melebihi 500. Perjanjian berkenaan ditandatangani menteri yang bertanggungjawab mengenai alam sekitar, menggariskan komitmen negara anggota menangani masalah berkaitan pada peringkat kebangsaan dan serantau tanpa mekanisme penguatkuasaan oleh mana-mana negara terhadap rakan lain. 

Dalam usaha untuk bersaing dengan negara lain, banyak negara telah menjalankan projek-projek pembangunan bagi memantapkan kedudukan mereka. Di Malaysia, setelah negara mencapai kemerdekaan, banyak kawasan hutan yang telah diterokai untuk  tujuan pembangunan bagi memenuhi keperluan masyarakat dan negara. Walaupuan projek pembangunan ini telah banyak memberi manfaat kepada masyarakat setempat namun ia juga turut memberi impak buruk kepada alam sekitar khususnya kepada kawasan hutan. Dalam hal ini, apabila semakin banyak pembangunan fizikal di lakukan ini sudah pasti menyebabkan banyak kawasan hutan yang akan diterokai dan ini telah menjadi faktor penyumbang pada kemerosotan luas kawasan hutan. Berdasarkan laporan FOA (Food and Agriculture Organization of the United Nations, 2004), di Malaysia purata kadar kehilangan hutan setiap tahun pada 1990-an dianggarkan sebanyak 237,000 hektar atau 1.2%. Justeru itu, bagi mengatasi masalah ini kerajaan telah memperkenalkan Dasar perhutanan negara pada 1978. Melalui dasar ini, kerajaan telah memperuntukkan kawasan hutan simpan dan telah memindah akta dan oridanan yang sedia ada agar selaras dengan dasar ini. Impak dari pengenalan dasar ini dapat dilihat dengan adanya pengurusan hutan secara lestari. Sebagai contoh, kerajaan telah mengklasifikasikan kawasan hutan simpan kepada empat fungsi utama yang merangkumi kawasan, perlindungan, pengusahahasilan, kemudahan dan penyelidikan dan pendidikan. Selain itu, Malaysia juga turut berjaya mengurangkan kadar pembalakan haram di negara ini dengan adanya penyelarasan dasar perhutanan dan undang-undang negara.

            Setiap negeri mempunyai polisi pembangunan iaitu kawasan yang telah dikenal pasti oleh pihak Jabatan Alam Sekitar yang telah digazetkan sebagai kawasan larangan pembangunan. Kawasan yang telah digazetkan sensitif pembangunan adalah termaktub dan diguna pakai dalam pelan pengezonan Rancangan Tempatan bagi setiap negeri yang mana telah menjadi rujukan pembangunan bagi setiap pemaju atau pemilik tanah. Implikasi polisi yang bersesuaian dalam prasyarat pembangunan ialah Penilaian Impak Alam Sekitar atau Environmental Impact Assessment (EIA) adalah kajian untuk mengenal pasti, meramal, menilai dan menyampaikan maklumat mengenai impak ke atas persekitaran projek yang dicadangkan dan memperincikan langkah-langkah sebelum kelulusan dan pelaksanaan projek. EIA asasnya adalah satu alat perancangan untuk mengatasi masalah alam sekitar yang disebabkan oleh tindakan manusia. Ia bertujuan untuk mengurangkan kesilapan yang besar di dalam pelaksanaan projek, sama ada kerana kerosakan alam sekitar yang mungkin timbul semasa pelaksanaan projek, atau kerana pengubahsuaian yang mungkin diperlukan. Di Malaysia, EIA diperlukan di bawah seksyen 34A, Akta Alam Sekitar dan Kualiti, 1974. (Deparment of Environment, 2011).  Impak negatif aktiviti pembangunan terhadap alam sekitar ialah khazanah alam semula jadi yang semakin pupus (Debat Pelajar). Pembukaan bandar-bandar baru telah menyebabkan banyak penerokaan hutan dan pemotongan bukit yang terlarang seperti yang telah termaktub di dalam EIA dan Rancangan Tempatan adalah semakin berleluasa. Hal ini telah menyebabkan kebanyakan habitat hidupan liar kehilangan habitat. Kejadian tanah runtuh juga akan berlaku seperti di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur adalah merupakan salah satu contoh pembangunan yang tidak mengikuti spesifikasi pembangunan dari segi aspek EIA. Kejadian tersebut telah menyebabkan banyak nyawa terkorban.

KESIMPULAN
            Alam sekitar menyumbangkan banyak perkhidmatan atau kemudahan penting kepada manusia. Ia bukan sahaja merupakan tabung sumber-sumber alam yang sebahagian daripadanya digunakan sebagai bahan-bahan input bagi proses pengeluaran dan penggunaan tetapi ia juga merupakan aspek penting bagi kehidupan manusia atas muka bumi. Alam sekitar sememangnya memainkan peranan yang penting dalam pembangunan negara. Sebagai negara pengeluar bahan-bahan utama, Malaysia bergantung kuat pada pengeluaran sumber-sumber alam sebagai sumber-sumber pendapatan daripada dalam dan luar negeri. Sebaliknya, manusia tidak menghargai sumber yang dimiliki sekarang telah menyebabkan alam sekitar dalam proses pengeluaran telah diabaikan dan muncul berbagai-bagai bentuk pencemaran. Usaha-usaha untuk mengatasi masalah ini telah dijalankan terutama dalam bentuk undang-undang dan kawalan. Walaupun tindakan ini merupakan langkah yang penting, ia tidak mungkin dapat mengatasi masalah alam sekitar secara keseluruhan.

            Secara amnya, pembentukan Akta Kualiti Alam Sekitar 1974, sebenarnya merupakan sebagai salah satu aspek yang penting dalam proses pembangunan negara. Sebelum itu masalah kemerosotan alam sekitar hanya merupakan masalah sampingan dan walaupun terdapat undang-undang tertentu namun pihak yang bertanggungjawab dengan penguatkuasa boleh dikatakan tidak berfungsi dengan sepenuhnya dalam pelaksanaan. Walau bagaimanapun, selepas terbentukny Akta Kualiti Alam Sekitar 1974, situasi telah berubah dalam mewujudkan penguatkuasa yang ketat dalam menjaga kualiti alam sekitar sekeliling.

         Kerajaan, sektor awam, sektor swasta dan juga masyarakat seharus bersama-sama bertanggungjawab dalam memastikan alam sekitar kita terpelihara. Kerajaan pusat telah menetapkan satu Dasar Alam Sekitar Negara iaitu mementingkan kerjasama rapat antara kerajaan pusat dengan kerajaan-kerajaan negeri dalam keperluan pembangunan sosioekonomi mestilah seimbang dengan keadaan sekeliling. Langkah-langkah yang diambil setakat ini telah menunjukkan prestasi dan kesan yang baik sesungguhpun terdapat lagi ruang yang perlu diperbaiki lagi. Dengan kerjasama semua pihak, Malaysia akan dapat mencapai pembangunan sosioekonomi di samping menikmati keselesaan alam sekitar demi mencapai taraf negara maju menjelang tahun 2020 seiring dengan wawasan 2020.









RUJUKAN
Abdul Samad Hadi. (1990). Pembangunan dan alam sekitar di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Department of Environment Malaysia. (2002, October 21). National Policy on Environment. Retrieved from http://www.doe.gov.my/portal/wpcontent/uploads/2010/07/dasar_alam_sekitar_negara.pdf   
Deparment of Environment Malaysia. (2011  July 6). Environmental Impact Assessment (EIA)
Debat Pelajar. (n.d.). Pembangunan bandar menjejaskan warisan negara. Retrieved from
Food and Agriculture Organization of the United Nations. (2004 May). Forests and foresty sector: Malaysia. Retrieved from http://www.fao.org/forestry/country/57478/en/mys/
Jabatan pengairan dan Saliran negeri Melaka. (2012, June 16). Program kempen kesedaran alam sekitar. Retrieved from: http://jps.melaka.gov.my/ms/pusat-media/berita-terkini/111-program-kempen-kesedaran-alam-sekitar-pada-2362012.html
Kerajaan Malaysia. (1981). Rancangan Malaysia Ketiga 1981-1985. Kuala Lumpur: Percetakan Nasional Malaysia Berhad.
Kerajaan Malaysia. (2010). Rancangan Malaysia Kesepuluh 2011-2015.  Putrajaya: Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.
Malaysian Timber Council. (2007). Malaysia: Pengurusan hutan mampan. Retrieved from http://www.mtc.my/info/images/stories/pdf/pengurusan_hutan.pdf
Todaro, M. P. & Smith, S. C. (2011). Bab 10 The environment and development. Economic Development  (Eleventh Edition). England: Addison Wesley Pearson Education Limited.
Yee, T. H. (2011, January 14). Bangunan hijau ke arah pembangunan mampan. Retrieved   from http://www.konsumerkini.net.my/v1/index.php/berita-terkini/alam-sekitar/533-bangunan-hijau-ke-arah-pembangunan-mampan  
Zawawi Ibrahim & Sharifah Zarina Syed Zakaria. (2009). Alam sekitar dan perspektif sains sosial di Malaysia [Electronic version]. Akademika 76, 43-66.





No comments:

Post a Comment