Friday, 3 January 2014

Pertandingan Menulis Esei : Penulisan Esei Mengenai Konteks Hijabers

Penulisan Esei Mengenai Konteks Hijabers

Konteks sebenar Hijabers adalah aktiviti di mana semua komuniti dapat memperoleh ilmu pengetahuan dari masa ke masa melalui pelbagai pendapat dan perkongsian sesama wanita muslimah. Daripada perkataan Hijabers itu sendiri dapat dilihat dengan perkataan lain iaitu ‘Hijab’ sesuatu kain yang dapat menutupi aurat wanita yang sememangnya mengikut agama Islam bahawa seluruh badan wanita adalah aurat kecuali wajah dan telapak tangan seperti mana yang disebutkan dalam mazhab Malik dan Asy-Syafie. Tambahan pula, mengenai konsep Hijabers dapat kita tinjau bahawa usaha untuk sesuatu yang dipakai bagi menutupi seluruh aurat wanita seperti menggunakan kain, baju dan tudung. Penekanan terhadap Hijabers adalah berfungsi untuk menutup aurat wanita seperti mana dalam keadaan seseorang wanita itu ketika menunaikan solat. Ketika menunaikan solat, hanya wajah dan telapak tangan sahaja yang dibolehkan untuk berkeadaan terbuka dan kebiasaannya, wanita mengunakan kain sembahyang yang dikenali sebagai telekung sebagai hijab. Apabila komuniti Hijabers Malaysia diperkenalkan, penulis beranggapan bahawa, pemakaian seseorang wanita bukan sahaja menitik beratkan kepada pemakaian yang mengikut syriat Islam, malah mengikut peredaran zaman tetapi masih mengikut syariat Islam, kerana bagi agama Islam tidak menghalang seseorang itu untuk berfesyen, tetapi hendaklah mengikut syarak. Hal ini, disebabkan Islam adalah mementingkan kepada keindahan, kekemasan dan kecantikan mahupun dalaman dan luaran. Tegasnya bahawa, kecantikan dalaman yang dijaga seperti menunaikan solat lima waktu, berzikir, membaca al Quran dan berpuasa dapat membentuk rohani yang baik malah juga membentuk perspektif dan memiliki gaya keterampilan yang menyerlah dan berseri bagi seseorang wanita muslimah itu.

            Sebut sahaja tentang Hijab, sudah pasti ramai wanita di luar sana mengaitkan tentang pemakaian tudung yang sememangnya menjadi suatu perkara wajib kepada wanita muslimah. Namun begitu, pemakaian tudung perlu ada caranya yang bukan sahaja ingin tampak cantik dan indah, namun perlu menitik beratkan pemakaian tudung mengikut syariat Islam. Hakikatnya, sebagai wanita muslimah perlulah kita ketahui bahawa para wanita yang hidup secara bebas, membiarkan tubuhnya terbuka sesungguhnya telah menodai haknya sendiri, hak keluarga dan juga masyarakat. Sesungguhnya, ketahuilah kita mengenai perintah Allah mengenai pakaian kepada manusia, agar dengan pakaian itu kita dapat menutupi aurat, sebagaimana dalam firman-Nya, dalam Surah Al-A’raf ayat 26 yang menyatakan bahawa ‘’Wahai anak cucu Adam! Sesungguhnya Kami telah menyediakan pakaian untuk menutupi auratmu dan juga perhiasan bagimu. Tetapi pakaian taqwa, itulah yang lebih baik. Demikianlah sebahagian tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka ingat.’’ Ayat dalam surah Al-A’raf itu sudah terbukti Allah SWT menegaskan kepada kita khususnya wanita muslimah agar menutupi aurat kita dengan pakaian tetapi perlu menampilkan ciri-ciri ketaqwaan seseorang itu. Jelaslah bahawa, pemakaian tudung bukan sahaja untuk berfesyen akan tetapi perlu mengikut syriat Islam mengenai pemakaian tudung yang menutupi kepala wanita sehingga menutupi dadanya. Sekaligus, dapat menutup aurat, berupa leher dan bahagian dada, yang bererti hanya boleh membuka wajah dan telapak tangan.

            Syukur alhamdulilah, penulis dapat bersama-sama mengikuti perkembangan Community Hijabers Malaysia adalah kerana takdir Allah SWT yang mengizinkan penulis untuk dapat menyertai komuniti tersebut. Sumbangan yang dapat diberikan dalam komuniti tersebut adalah dengan mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara sesama kita sebagai wanita muslimah. Dalam komuniti masing-masing haruslah saling memberi nasihat yang baik kepada yang lain, menyuruh kepada yang makruf dan melarang dari yang mungkar. Selain itu, sumbangan yang dapat dilakukan dalam ruangan komuniti Hijabbers adalah mengenai perkongsian pandangan bukan sahaja memberi tips kecantikan dan kesihatan untuk wanita malah memberi ilmu pengetahuan mengenai isu-isu semasa mengenai wanita dan juga negara. Hal ini disebabkan, kita sebagai wanita muslimah yang mengikut memikirkan urusan umat, bukan hanya sekadar sibuk dengan urusan perhiasan untuk menarik perhatian orang lain. Malah, dengan komuniti ini dapat memberi sumbangan dan bantuan kepada pihak yang memerlukan di samping memperoleh keredaan Allah SWT.

            Community Hijabers Malaysia telah menarik ramai ahli tidak kira mengikut peringkat umur dan juga datangnya dari pelbagai negeri dalam Malaysia. Pelbagai aktiviti yang ingin dilaksanakan bagi mengeratkan lagi hubungan yang lebih erat antara komuniti dalam Hijabers itu sendiri. Aktiviti yang dapat dijalankan salah satunya adalah, program yang dapat membentuk personaliti terhadap wanita muslimah itu sendiri. Program-program seperti itu dapat dijalankan dengan melaksanakan program yang berkaitan dengan bengkel dan kerjaya untuk memberi inspirasi kepada komuniti Hijabbers itu sendiri sebagai wanita muslimah yang hebat. Program yang diilhamkan oleh penulis bukan sahaja membentuk personaliti daripada segi pemakaian malah ingin membentuk wanita muslimah yang mempunyai ciri-ciri karisma yang masing-masing mempunyai kelebihan seperti pendidikan, kerjaya dan kemahiran yang sedia ada.

            Kesimpulannya, sokongan yang padu daripada kalangan komuniti Hijabers yang baik dan meyakinkan merupakan sesuatu yang amat penting bagi membuktikan bahawa wanita muslimah amat berharga dan bernilai di mata dan di hati bagi setiap umat di muka bumi ini. Oleh itu, penulis mempunyai Tagline yang sesuai mengenai komuniti Hijabbers itu sendiri iaitu ‘’Wanita Muslimah Arahkan Dirimu Kepada Perhiasan yang Tidak Akan Punah, iaitu Perhiasan yang Ada di Syurga’’. Seperti mana tagline ini, penulis cuba kaitkan dengan Firman Allah SWT dalam surah Al-Kahfi ayat 31 iaitu ‘’mereka diberi hiasan gelang emas dan mereka memakai pakaian hijau dari sutera halus dan sutera tebal, sedang mereka duduk sambil bersandar di atas dipan-dipan yang indah. (itulah) sebaik-baik pahala dan tempat istirahat yang indah’’. Penulis berharap agar kita sama-sama menjadi wanita muslimah yang hebat, bukan sahaja indah di mata, tetapi keindahan yang ingin dikecapi hinggalah keindahan di syurga seperti mana yang dijanjikan Allah SWT.


            Saya perlu dipilih sebagai Top’s Community Hijabers Malaysia kerana saya ingin bersama-sama menyertai program dan aktiviti yang dilaksanakan daripada rakan-rakan Hijabers di seluruh Malaysia dan berkongsi idea yang rasional sebagai membantu aktiviti dan program yang dilaksanakan dengan izin Allah S.W.T.

Penulis,
Siti Norsahliza Wagiah

No comments:

Post a Comment